Hati ibarat kuali
السلام عليكم
Semua pembaca yang disayangi Allah sekalian. Moga-moga tinta kali ini menjadi kalam-kalam berguna buat saya dan kita semua InsyaAllah.
Tiba-tiba seusai solat maghrib tadi saya mendapat ilham yang muncul berkat dariNya yang saya fikirkan menarik untuk perkongsian bersama. Teringat akan satu hadis daripada baginda nabi s.a.w yang lebih kurang seperti ini:
"Dalam tubuh manusia ada segumpal daging, jika segumpal daging itu baik maka baiklah seluruh tubuhnya namun jika buruk daging itu maka buruklah seluruh tubuh manusia. Ketahuilah segumpal daging itu adalah hati(iman) manusia".
Kotor dosa
Hidup didalam dunia akhir zaman yang penuh dengan pelbagai fitnah dan tribulasi yang pelbagai adakala hati saya agak takut untuk keluar menuju dunia luar.
Bukan takut akan perubahan yang semakin pesat dan bimbang dianggap kuno tapi saya lebih takut 'hati' saya ini dirampas dengan sesuatu perkara yang kotor.
Bukan kotor yang boleh kita lihat secara jelas dengan mata kasar tapi kotor dosa yang tak dapat dilihat dengan pancaindera mahupun eksperimen sains manusia.
Hati ibarat kuali
Kotor yang hanya menjadi bintik hitam halus didalam hati lalu menjadi kerak degil yang sukar untuk dihilangkan seperti kuali hitam yang berkerak walaupun disental tetap sukar untuk dihilangkan hitamnya.
Begitu juga hati...
Hati itu ibarat kuali. Bilamana ia baru dibeli pasti berkilat bahkan boleh nampak bayangan wajah kita apabila dipandang tapi lama kelamaan bila karat hitam mula terlekat dek panasnya api kita lupa untuk mencucinya. Mungkin cuci dengan ala kadar sahaja. Tidak bersungguh.
Hati kita juga begitu....
Apabila dosa mula hinggap pada hati kita lupa untuk membilasnya kembali. Kita lupa mencuci dosa kita yang terus-terusan meninggalkan karat hingga hati kita sukar untuk dihilangkan. Kita melakukan dosa sehingga kita lupa...kita masih ada misi yang belum terlaksana. Misi untuk kita menjadi hambaNya.
Dunia tempat RnR
Dunia ini seperti tempat RnR(kawasan rehat dan rawat) yang terdapat di persimpangan lebuh raya plus.
Dalam perjalangan kita yang masih panjang sebelum sampai ke destinasi yang ingin dituju pastinya pelbagai masalah yanf seringkali timbul. Pokoknya ada saja perkara yang berlaku sepanjang perjalanan kita itu. Kereta rosak, mata mengantuk akibat keletihan, perut lapar, anak-anak meragam nak itu ini. Semuanya seakan menguji mental kita sebagai pemandu mahupun penumpang.
Sedang kita memandu kenderaan ada signboard Rnr disebelah kiri jalan. 3km lagi dihadapan. Hati mula lega. Nanti di rnr bolehlah isi perut dan lepaskan lenguh-lenguh yang ada, periksa kenderaan apa yang tidak kena, boleh ke tandas untuk melepaskan hajat dan sebagainya. Hati mula lega. Anak-anak pum tersenyum suka Segalanya terbayang dimata. Senyuman mula terukir. Dan akhirnya tiba disana. Selesai semua hajat, adakah perjalanan kita telahpun tamat?? Pastinya belum lagi. Kita masih ada separuh perjalanan untuk diharungi.
Begitu juga dunia. Perjalanan kita masih belum sampai ke destinasinya. Kita masih ada akhirat untuk kita tuju. Tetapi bagaimana kita mahu ke sana jika persediaan tidak kita lakukan. Apakah kita mahu terkandas di pertengahan jalan atau perjalanan masih tetap diteruskan hingga bertemu destinasi yang dirancang sedangkan persiapan kita tidak cukup rapi.
Kita tidak servis kenderaan dengan baik. Kita tidak merehatkan badan terlebih dahulu sebelum memulakan destinasi yang jauh.
Kita masih gagal
Ternyata kita masih gagal dalam merancang.
Adakah dengan melakukan dosa segala perancangan kita untuk masuk ke dalam syurga menjadi sia-sia.
Adakah dengan sedikit kesilapan kita terlangkah ke dalam jurang neraka yang dalam.
Mari baiki hati iaitu iman kita. Mari kita sental karat hitam pada hati kita. Mari kita teruskan perjalanan kita tanpa berehat lama di RnR dengan persediaan rapi menuju jannatul a'la.
Mari kita jadi hamba...
Moga bermanfaat...
Comments
Post a Comment